Khamis, 17 Ogos 2017


Artikel Akhbar Berita Harian berkenaan Pameran Ikan Lut Sinar.
https://www.bharian.com.my/berita/pendidikan/2017/08/313203/umt-pamer-1000-ikan-lut-sinar

PROF Datuk Dr Nor Aieni Mokhtar (tudung merah) mengiringi Penasihat Sains Perdana Menteri, Prof Emeritus Tan Sri Dr Zakri Abdul Hamid melawat Galeri Pameran Ikan Lut Sinar di Universiti Malaysia Terengganu, Gong Badak, Terengganu.- Foto Aslina Abu

UMT pamer 1,000 ikan lut sinar

KUALA NERUS: Selepas Jepun dan Taiwan, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) muncul sebagai tuan rumah Pameran Antarabangsa 'Rahsia Ikan Lut Sinar'.
Sebanyak 1,000 spesis ikan lut sinar dipamerkan kepada orang ramai di Galeri Penyelidikan Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS), Kampus UMT, di sini, bermula hari ini sehingga November depan.
Naib Canselor UMT, Prof Datuk Dr Nor Aieni Mokhtar, berkata ikan lut sinar itu digunakan sebagai satu bahan pameran yang mengandungi elemen pendidikan dan penghayatan seni untuk mendekatkan masyarakat kepada biologi haiwan berkenaan.
Beliau berkata, pameran itu juga bertujuan memberi pendedahan kepada orang ramai mengenai fungsi dan peranan ikan lut sinar.
Katanya, semua spesimen ikan itu dibawa khas dari Taiwan hasil inisiatif UMT melalui Pusat Pengajian Sains Perikanan dan Akuakultur dengan kerjasama Muzium Biologi Laut dan Akuarium Nasional (NMMBA) dan Universiti Dong Hwa Kebangsaan, Taiwan.
"Penghasilan ikan lut sinar penting untuk pengecaman spesies dan taksonomi ikan, mengenali sejarah evolusi kumpulan ikan.
"Pada masa kini, ikan lut sinar digunakan secara meluas di universiti untuk tujuan pendidikan dan penyelidikan, selain mengkaji hubungan di antara setiap pengkelasan ikan," katanya pada majlis perasmian Pameran Antarabangsa 'Rahsia Ikan Lut Sinar' di UMT, di sini, hari ini.
Pameran itu dirasmikan Penasihat Sains Perdana Menteri, Prof Emeritus Tan Sri Dr Zakri Abdul Hamid.
Yang turut hadir, Timbalan Menteri Politik Pendidikan Taiwan, Dr Tsai Ching Hwa dan Ketua Pengarah NMMBA, Dr Chen Chii Shiarng.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Jom sama-sama follow dan like page Institut Oseanografi dan Sekitaran - INOS UMT https://www.facebook.com/inosumt/?fref=ts